Monday, November 30, 2009

Pengurusan Kewangan Paling Ringkas Didunia! - T Harv Eker

Assalamualaikum salam sejahtera,Di sini saya ingin berkongsi sesuatu yang mungkin boleh mengubah cara kita mengurus kewangan kita pada hari ini. Saya pasti ramai di antara kita yang masih lagi mencari-cari cara mengurus kewangan dengan sistematik, mudah & ringkas. Terdapat pelbagai jenis dan cara untuk kita mengurus kewangan kita dengan baik, akan tetapi adakah ianya sesuai dan mudah untuk diikuti?Teknik ini juga dikenali sebagai 6 Jars Millionaire Mind, ianya telah digunakan oleh beribu-ribu orang di luar sana dan ianya dicipta oleh seseorang yang luar biasa bernama T Harv Eker. Saya mengetahui & mempelajari teknik ini semasa beliau datang ke Malaysia pada tahun lepas (May,2008) untuk memberi ceramah seminar bertajuk "Millionaire Mind Intensive".

Untuk kita mengaplikasikan teknik ini, pertama sekali kita perlu menyediakan 6 balang seperti gambarajah di atas untuk dijadikan tabung. Balang tersebut haruslah lutsinar (supaya kita dapat melihat duit yang telah berjaya dikumpul, secara psikologinya ia akan memberi kita lebih bersemangat). Balang tersebut juga boleh digantikan dengan akaun bank dan setiap satunya di label seperti berikut:
1. FFA - (Financial Freedom Account)
2. LTSS - (Long Term Saving Spending)
3. EDUC - (Education)
4. NEC - (Necessities)
5. PLAY - (Play)
6. GIVE - (Give)

Setiap pendapatan yang kita perolehi secara harian, mingguan atau bulanan akan di masukkan ke dalam setiap balang tersebut mengikut peratusan yang telah ditetapkan di dalam teknik ini. Sebagai contoh; jika bulan itu gaji kita adalah RM1000, cuma masukkan RM100 sahaja kedalam balang, atau jika mendapat RM1.00 pada hari itu, kita masukkan RM0.10sen sahaja. Ingat! jumlah yang akan dimasukkan tidak penting, akan tetapi 'habit' atau rutin kita untuk memasukkan itu adalah lebih penting, kerana lama-kelamaan tindakan kita ini akan dijadikan rutin harian.

Saya akan terangkan fungsi balang-balang tersebut satu-persatu;
1) FFA - (Financial Freedom Account) - 10%Dalam bahasa Malaysia bermaksud Akaun Bebas Kewangan. Ia merupakan balang yang paling penting sekali antara balang-balang yang lain, kerana balang inilah yang akan membantu apabila kita bersara suatu hari nanti, dimana di waktu itu kita tidak lagi mempunyai pendapatan tetap.Apakah kegunaan balang tesebut? Ianya lebih kepada pelaburan jangkamasa panjang. Wang yang terdapat di dalam balang tersebut boleh di gunakan untuk pelaburan (unit trust, insurance), perniagaan pasif (vending machine) dimana kita tidak perlu berada di tempat kita berniaga sebaliknya orang ramai akan tetap menggunakan perkhidmatan mesin tersebut. Jadikan ianya Angsa Emas, INGAT! jangan sesekali membelanjakan wang tersebut walau berlaku apa sekalipun!!! Jika tidak, ianya seumpama menyembelih angsa tersebut, maka hilanglah punca pendapatan pasif kita.

2) LTSS (Long Term Saving Spending) - 10%Balang yang kedua ini juga penting untuk kita. Wang yang terdapat di dalamnya digunakan untuk mendapatkan perkara atau benda yang kita idamkan pada masa hadapan. Sebagai contoh, membeli sebuah rumah atau kereta memerlukan kita untuk membayar wang pendahuluan. Jadi, gunakan wang di dalam balang ini untuk tujuan itu. Contoh lain, setiap tahun kita ingin untuk melancong ke tempat-tempat yang menarik samada di dalam atau di luar negara, balang ini juga boleh di gunakan untuk tujuan itu.Jika kita mempunyai hutang kad kredit, gunakan wang tersebut untuk membayar hutang kad kredit. Ini adalah kerana interest yang dikenakan untuk pemilik kad kredit lebih tinggi dari hutang pinjaman yang lain.Kita boleh bahagikan peratusan simpanan dalam tabungan ini kepada 50/50. Sebagai contoh, 50% simpanan digunakan untuk membayar kredit kad manakala 50% lagi untuk wang pendahuluan rumah.Hanya 10% daripada pendapatan kita akan digunakan untuk balang ini.

3) EDUC (Education) - 10%Balang ketiga diberi nama Education, ianya digunakan untuk tujuan pendidikan. Mungkin ada di antara kita yang ingin menyambung pelajaran ke tahap diploma, ijazah, master, PHD atau sijil profesional. Gunakan wang yang terdapat di dalam tabung ini untuk tujuan tersebut. Mungkin juga kita sudah mempunyai tahap pendidikan setinggi PHD, tabung ini masih lagi diperlukan dimana, wang yang disimpan di dalam tabung ini boleh digunakan untuk tujuan menghadiri kursus atau seminar yang kita rasa perlu untuk meningkatkan tahap ilmu pengetahuan di dalam diri.Ada pepatah menyatakan "Hidup ini merupakan proses pembelajaran sehinggalah kita di alam barzakh". Ada juga pepatah barat mengatakan "If you are not growing, you are dying - If you think education is expensive, try ignorance"-Ben Franklin. Pada pendapat saya, hidup kita di dunia ini perlu ilmu pengetahuan, jika tiada ilmu pengetahuan kita seumpama bangkai bernyawa. Kita tidak dapat berbuat apa-apa tanpa ilmu pengetahuan. Jangan kita anggap mengeluarkan wang untuk ilmu sebagai pembaziran, anggaplah ianya sebagai pelaburan. Fikir-fikirkan!Sekali lagi, hanya 10% daripada pendapatan digunakan untuk tujuan ini.

4) NEC (Necessities) - 55%Balang atau tabung yang keempat ini merupakan tabung yang akan kita gunakan setiap hari atau bulan, boleh dikatakan komitmen atau keperluan wajib setiap bulan. Peratusannya ditetapkan kepada 55% setiap bulan. Ianya tinggi kerana perkara-perkara seperti bil-bil (telefon, air, elektrik), bayaran installment(kereta, rumah), barangan dapur(makanan), bahanapi adalah dari balang ini. Jika kita telah membuat kiraan perbelanjaan setiap bulan dan ianya melebihi 55% setiap bulan, maka kita perlu kurangkan perbelanjaan, seperti, mengurangkan penggunaan telefon, jimatkan penggunaan elektrik dan air di rumah, kurangkan makan di luar sebaliknya masak di rumah. Jika sebelum ini kita memandu ke tempat kerja, gunakan pengangkutan awam atau kenderaan yang lebih menjimatkan bahan api.

5) PLAY (Play) - 10%Gunakanlah wang yang di dalam balang ini untuk menghiburkan diri atau bersama orang tersayang. Setiap manusia di dunia pasti akan berasa tertekan, dan tekanan hidup merupakan punca pelbagai penyakit. Hidup di kota metropolitan membuat kita akan berasa lebih tertekan dengan cepat kerana faktor-faktor seperti tekanan di tempat kerja, kesesakan lalulintas, tekanan di rumah, pencemaran dan sebagainya.Jadi, bagaimana untuk kita mengatasi masalah tersebut? Kita hanya perlu berasa gembira untuk mengurangkan rasa terkenan tersebut. Wang yang telah kita simpan di tabung ini boleh digunakan untuk tujuan itu. Sebagai contoh, pergi menonton wayang, pergi ke taman tema, melakukan aktiviti sukan seperti futsal, bowling dan sebagainya. Ianya juga boleh digunakan untuk tujuan kita menikmati makanan di restoran atau hotel eksklusif bersama orang yang tersayang. Gunakanlah wang di dalam tabungan ini tanpa rasa bersalah, ianya adalah untuk dibelanjakan! Gunakan setiap bulan atau 3 bulan sekali. Belanjakan wang tersebut!Untuk balang ini, hanya 10% sahaja daripada pendapatan.

6) GIVE (give) - 5%Hidup kita sebagai manusia di dunia ini hanyalah sementara. Kita juga tidak keseorangan tinggal di dunia ini. Ada diantara kita yang hidupnya sangat senang, ada juga sangat daif. Bersyukurlah jika kita hidup dengan keadaan yang senang. Tetapi bagaimana mereka yang daif? Sanggupkah kita melihat mereka hidup seperti itu? Sekali lagi bersyukur bagi kita yang hidup dibesarkan oleh ibu bapa kita. Ada diantara kita yang sejak kecil dibesarkan di rumah-rumah anak yatim, tidak beribu dan berbapa. Bagaimana pula golongan masyarakat di tempat anda? Tidakkah kita sebagai manusia mempunyai hati dan juga perasaan?Jika kita masih berhati dan berperasaan, cuma agihkan pendapatan kita sebanyak 5% untuk tujuan ini. Hidup tolong menolong adalah sesuatu yang amat dituntut. Gunakan wang yang ada di dalam tabungan ini untuk membantu mereka yang memerlukan bantuan. Di dalam Islam juga kita di galakkan menderma, sesungguhnya tangan yang memberi lebih baik dari yang menerima, dan salah satu cara untuk membersihkan harta adalah dengan memberi zakat (menderma).Jika kita seorang yang dermawan, kita boleh memberi 10% daripada pendapatan anda dan kurangkan 5% dari balang NEC.

Kesimpulan

Secara kesimpulannya, untuk kita menggunakan teknik di atas, pertama sekali kita perlu tahu berapa yang patut untuk kita letakkan di dalam balang NEC dengan cara membuat kira-kira daripada pendapatan kita setiap bulan. Jika tabung NEC kita melebihi 55% (walaupun dah berjimat), kita boleh kurangkan peratusan di balang-balang lain seperti PLAY, LTSS & GIVE. Tetapi! jangan sesekali kurangkan peratusan di balang-balang FFA & EDUC, kerana balang-balang tersebut adalah pelaburan kita untuk masa hadapan!Tanpa kita sedari, sebenarnya kita telah sediakan 3 tabung untuk pelaburan (FFA, EDUC & GIVE) dan 3 tabung untuk keperluan kita (LTSS, NEC & PLAY).

Hmm, mungkin ada yang tertanya dimana balang kecemasan (EMERGENCY)? Bagi pendapat saya, tabung tersebut tidak perlu kita fikirkan kerana, secara psikologinya jika kita mempunyai balang kecemasan, kita seperti meminta perkara-perkara yang tidak diingini/bencana (kecemasan) berlaku ke atas diri kita. Itulah LAW OF ATTRACTION. Sebaliknya jika masih terdapat perkara yang tidak diingini berlaku di dalam hidup kita, tabung-tabung seperti LTSS, FFA(insuran), PLAY dapat membantu.

KALKULATOR PENGURUSAN KEWANGAN T HARV EKERSekian sahaja perkongsian. Semoga kita semua mendapat sesuatu yang bermanafaat pada hari ini. Terima kasih.

Wednesday, November 25, 2009

Rakyat mula jelak penjenayah asing ganggu kehidupan harian

NAMPAKNYA masalah dihadapi rakyat negara ini gara-gara kerenah pendatang asing berterusan tanpa penyelesaian.

Daripada perlakuan jenayah dan salah laku pembantu rumah dan pekerja dari Indonesia, pekerja Bangladesh (terbabit mengganggu gadis tempatan), pendatang dari China dan Vietnam dengan gadisnya terjebak dalam kegiatan pelacuran dan pendatang lain dari Amerika Latin, termasuk beberapa kerat orang Arab dan Iran yang dikatakan terbabit dengan pelbagai kes kecurian dan penipuan, kini timbul pula kes bersabit dengan kerenah yang tidak menyenangkan oleh warga Afrika.

Sebelum ini pun akhbar sudah memaparkan kes pendatang dari Asia Barat dan Afrika menipu gadis Malaysia menjadi 'keldai' mereka membawa dadah untuk diseludup ke beberapa negara luar. Hingga kini, ada lebih 1,000 wanita Malaysia kebanyakannya wanita muda Melayu, termasuk lulusan universiti, merengkok dalam penjara di luar negara hanya kerana mudah ditipu teman mereka dari berbagai negara Arab dan Iran serta dari Afrika.

Terakhir tindak-tanduk melampau warga Afrika digelar oleh akhbar Melayu sebagai 'Awang Hitam' sering saja menjadi bahan berita. Dengan berbadan tegap mereka sewenangnya bersikap kasar tanpa menghiraukan kesopanan budaya kita khususnya Melayu. Ramai dikatakan terbabit dengan perangai buruk minum arak, mengacau gadis tempatan dan membuat berbagai perlakuan ala samseng yang amat tidak menyenangkan, selain terbabit dengan berbagai jenayah dan penipuan menggunakan khidmat pesanan ringkas (SMS) dan internet serta penipuan 'black money'.

Awang Hitam ini biasanya menghuni sesuatu kawasan dalam kumpulan yang ramai hingga mendatangkan kerisauan dan rasa tidak selamat di kalangan penduduk tempatan. Ramai antara mereka datang ke sini konon sebagai pelajar IPTS (dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini saja hampir 60,000 warga Afrika memasuki negara ini melalui jalan sah).

Persoalannya bagaimana mereka ini, walaupun tidak mempunyai kelulusan akademik secukupnya boleh diterima sesetengah institut pengajian tinggi swasta (IPTS)? Ditambah dengan yang memasuki secara haram dan terus tinggal di sini, walaupun visa sudah tamat, maka tidak menghairankan kini ada lebih tiga juta pendatang asing terdiri daripada dua juta yang sah dan sejuta lagi yang berada di sini secara haram.

Nampaknya rakyat semakin hari semakin ditekan dengan pelbagai masalah kerana pendatang asing ini boleh masuk ke negara kita, seolah-olah tanpa had. Sebenarnya, masalah ini wujud kerana dasar kita sendiri. Pertamanya membenarkan orang asing masuk dengan diberi visa ketika sudah tiba di lapangan terbang. Kedua, membenarkan segala macam IPTS yang tumbuh seperti cendawan membawa masuk pelajar kononnya untuk melanjutkan pelajaran.

Sepatutnya bila hendak adakan dasar sebegini, pelbagai agensi terbabit perlu mengadakan peraturan ketat bagi menentukan mereka yang benar-benar mahu melancong atau yang mahu belajar serta mempunyai kelulusan diperlukan serta yang sahih saja, dibenarkan masuk. Agak menghairankan apabila kerajaan sendiri boleh mengakui kemungkinan ramai warga Afrika yang masuk sebagai pelajar sebenarnya tidak layak melanjutkan pelajaran di IPT.

Sepatutnya mereka yang datang sebagai pelancong harus mempunyai wang secukupnya untuk menampung kehidupan mereka ketika di sini. Kalau untuk dua minggu, harus ada wang yang cukup untuk menampung penginapan dan lain-lain perbelanjaan bagi tempoh itu. Mereka yang tidak mempunyai wang secukupnya, tidak harus dibenarkan masuk. Syarat ini perlu diberitahu kepada semua kedutaan kita di luar negara.

Bagi mereka yang dibenarkan masuk dua minggu, kerajaan harus pula mempunyai cara berkesan menentukan mereka ini akan keluar dari sini dalam tempoh itu. Kalau tidak, Jabatan Imigresen dengan kerjasama polis harus menyediakan senarai semua yang terus berada di sini secara haram dan diedarkan kepada semua hotel dan rumah penginapan. Mana-mana hotel atau sesiapa saja yang melindungi mereka itu harus dikenakan tindakan berat hingga tidak ada siapa yang berani memberikan perlindungan kepada mereka itu.

Ini tidak. Kita begitu murah hati membenarkan siapa saja masuk tanpa visa kononnya untuk menggalakkan pelancong. Apakah ini yang berlaku? Benarkah pelancong sebenar sudah bertambah? Kementerian Pelancongan gah mengatakan sehingga purata dua juta pelancong datang setiap bulan. Tetapi sebenarnya lebih 70 peratus memasuki negara dengan melintasi Selat Tebrau. Kita sendiri tahu kebanyakan mereka itu adalah rakyat Singapura yang memasuki Johor untuk membeli barang dapur mereka, bukannya untuk melancong.

Bagi institusi pengajian tinggi pula, kerajaan mesti mensyaratkan mereka mengesahkan kesahihan semua pelajar mereka dari luar negara, iaitu mempunyai kelulusan diperlukan dengan sijil sahih pula dan kemudian memantau apakah mereka ini mengikuti kuliah secara betul. Sesiapa saja yang ponteng kuliah untuk lebih seminggu, misalnya tanpa alasan kukuh boleh dibuang dan dihantar pulang ke negara masing-masing.

Sekarang apabila nasi sudah hendak jadi bubur baru kerajaan hendak memikirkan soal penyaringan dan pemantauan kemasukan penuntut asing, termasuk dari Afrika bagi memastikan hanya yang berkelulusan akademik yang diperlukan saja baru dibenarkan masuk. Sungguh menghairankan kalau warga sendiri mesti mempunyai kelulusan akademik yang ditetapkan, tetapi syarat ini tidak pula dikenakan ke atas orang asing. Maka itu begitu ramai sekali warga Afrika datang menggunakan saluran ini.

Persoalannya kenapakah kita biarkan IPTS mengambil warga asing tanpa menghiraukan kelulusan akademik asalkan mereka itu mampu bayar yuran? Apakah IPTS terbabit ini tidak boleh dikenakan tindakan setimpal? IPTS ini nampaknya bukan berhasrat memberikan pengajian akademik, tetapi lebih pentingkan wang ringgit. Sepatutnya IPTS yang bermata duitan ini ditutup saja dan selesailah masalah 'Awang Hitam' ini.

Kementerian Pengajian Tinggi sepatutnya sejak awal lagi sudah memantau semua IPTS benar-benar melakukan apa yang perlu bagi menjaga baik nama negara untuk menjadi pusat pendidikan tinggi di rantau ini. Institusi yang tidak tegas melakukan apa yang dikehendaki ini boleh didenda secukupnya hingga mereka serik dan tidak akan mengabaikan tanggungjawab ini.

Kalau banyak sangat berlaku kecurangan begini mereka sepatutnya diharamkan daripada mengambil pelajar asing baru. Selain itu, ada pula pekerja asing datang secara sah untuk tempoh tertentu, tetapi tidak kembali ke negara asal mereka bila tamat tempoh. Kerajaan sendiri mengakui betapa lesunya agensi kerajaan mengesan mereka itu.

Sudah cukuplah kita menampung pendatang yang tidak diingini ini daripada terus berada dan bermaharajalela melakukan pelbagai macam perlakuan jelek dan jenayah di sini. Apakah kita tidak cukup mempunyai penjenayah tempatan hingga hendak mengimport penjenayah asing pula?

Persoalannya apakah pelbagai agensi penguat kuasa kita begitu lesu dan tidak bermaya untuk menangani masalah yang dibiarkan menjadi begini serius? Rakyat sebenarnya sudah jelak dan tidak boleh menerima kehadiran penjenayah asing itu lagi.