Wednesday, November 25, 2009

Rakyat mula jelak penjenayah asing ganggu kehidupan harian

NAMPAKNYA masalah dihadapi rakyat negara ini gara-gara kerenah pendatang asing berterusan tanpa penyelesaian.

Daripada perlakuan jenayah dan salah laku pembantu rumah dan pekerja dari Indonesia, pekerja Bangladesh (terbabit mengganggu gadis tempatan), pendatang dari China dan Vietnam dengan gadisnya terjebak dalam kegiatan pelacuran dan pendatang lain dari Amerika Latin, termasuk beberapa kerat orang Arab dan Iran yang dikatakan terbabit dengan pelbagai kes kecurian dan penipuan, kini timbul pula kes bersabit dengan kerenah yang tidak menyenangkan oleh warga Afrika.

Sebelum ini pun akhbar sudah memaparkan kes pendatang dari Asia Barat dan Afrika menipu gadis Malaysia menjadi 'keldai' mereka membawa dadah untuk diseludup ke beberapa negara luar. Hingga kini, ada lebih 1,000 wanita Malaysia kebanyakannya wanita muda Melayu, termasuk lulusan universiti, merengkok dalam penjara di luar negara hanya kerana mudah ditipu teman mereka dari berbagai negara Arab dan Iran serta dari Afrika.

Terakhir tindak-tanduk melampau warga Afrika digelar oleh akhbar Melayu sebagai 'Awang Hitam' sering saja menjadi bahan berita. Dengan berbadan tegap mereka sewenangnya bersikap kasar tanpa menghiraukan kesopanan budaya kita khususnya Melayu. Ramai dikatakan terbabit dengan perangai buruk minum arak, mengacau gadis tempatan dan membuat berbagai perlakuan ala samseng yang amat tidak menyenangkan, selain terbabit dengan berbagai jenayah dan penipuan menggunakan khidmat pesanan ringkas (SMS) dan internet serta penipuan 'black money'.

Awang Hitam ini biasanya menghuni sesuatu kawasan dalam kumpulan yang ramai hingga mendatangkan kerisauan dan rasa tidak selamat di kalangan penduduk tempatan. Ramai antara mereka datang ke sini konon sebagai pelajar IPTS (dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini saja hampir 60,000 warga Afrika memasuki negara ini melalui jalan sah).

Persoalannya bagaimana mereka ini, walaupun tidak mempunyai kelulusan akademik secukupnya boleh diterima sesetengah institut pengajian tinggi swasta (IPTS)? Ditambah dengan yang memasuki secara haram dan terus tinggal di sini, walaupun visa sudah tamat, maka tidak menghairankan kini ada lebih tiga juta pendatang asing terdiri daripada dua juta yang sah dan sejuta lagi yang berada di sini secara haram.

Nampaknya rakyat semakin hari semakin ditekan dengan pelbagai masalah kerana pendatang asing ini boleh masuk ke negara kita, seolah-olah tanpa had. Sebenarnya, masalah ini wujud kerana dasar kita sendiri. Pertamanya membenarkan orang asing masuk dengan diberi visa ketika sudah tiba di lapangan terbang. Kedua, membenarkan segala macam IPTS yang tumbuh seperti cendawan membawa masuk pelajar kononnya untuk melanjutkan pelajaran.

Sepatutnya bila hendak adakan dasar sebegini, pelbagai agensi terbabit perlu mengadakan peraturan ketat bagi menentukan mereka yang benar-benar mahu melancong atau yang mahu belajar serta mempunyai kelulusan diperlukan serta yang sahih saja, dibenarkan masuk. Agak menghairankan apabila kerajaan sendiri boleh mengakui kemungkinan ramai warga Afrika yang masuk sebagai pelajar sebenarnya tidak layak melanjutkan pelajaran di IPT.

Sepatutnya mereka yang datang sebagai pelancong harus mempunyai wang secukupnya untuk menampung kehidupan mereka ketika di sini. Kalau untuk dua minggu, harus ada wang yang cukup untuk menampung penginapan dan lain-lain perbelanjaan bagi tempoh itu. Mereka yang tidak mempunyai wang secukupnya, tidak harus dibenarkan masuk. Syarat ini perlu diberitahu kepada semua kedutaan kita di luar negara.

Bagi mereka yang dibenarkan masuk dua minggu, kerajaan harus pula mempunyai cara berkesan menentukan mereka ini akan keluar dari sini dalam tempoh itu. Kalau tidak, Jabatan Imigresen dengan kerjasama polis harus menyediakan senarai semua yang terus berada di sini secara haram dan diedarkan kepada semua hotel dan rumah penginapan. Mana-mana hotel atau sesiapa saja yang melindungi mereka itu harus dikenakan tindakan berat hingga tidak ada siapa yang berani memberikan perlindungan kepada mereka itu.

Ini tidak. Kita begitu murah hati membenarkan siapa saja masuk tanpa visa kononnya untuk menggalakkan pelancong. Apakah ini yang berlaku? Benarkah pelancong sebenar sudah bertambah? Kementerian Pelancongan gah mengatakan sehingga purata dua juta pelancong datang setiap bulan. Tetapi sebenarnya lebih 70 peratus memasuki negara dengan melintasi Selat Tebrau. Kita sendiri tahu kebanyakan mereka itu adalah rakyat Singapura yang memasuki Johor untuk membeli barang dapur mereka, bukannya untuk melancong.

Bagi institusi pengajian tinggi pula, kerajaan mesti mensyaratkan mereka mengesahkan kesahihan semua pelajar mereka dari luar negara, iaitu mempunyai kelulusan diperlukan dengan sijil sahih pula dan kemudian memantau apakah mereka ini mengikuti kuliah secara betul. Sesiapa saja yang ponteng kuliah untuk lebih seminggu, misalnya tanpa alasan kukuh boleh dibuang dan dihantar pulang ke negara masing-masing.

Sekarang apabila nasi sudah hendak jadi bubur baru kerajaan hendak memikirkan soal penyaringan dan pemantauan kemasukan penuntut asing, termasuk dari Afrika bagi memastikan hanya yang berkelulusan akademik yang diperlukan saja baru dibenarkan masuk. Sungguh menghairankan kalau warga sendiri mesti mempunyai kelulusan akademik yang ditetapkan, tetapi syarat ini tidak pula dikenakan ke atas orang asing. Maka itu begitu ramai sekali warga Afrika datang menggunakan saluran ini.

Persoalannya kenapakah kita biarkan IPTS mengambil warga asing tanpa menghiraukan kelulusan akademik asalkan mereka itu mampu bayar yuran? Apakah IPTS terbabit ini tidak boleh dikenakan tindakan setimpal? IPTS ini nampaknya bukan berhasrat memberikan pengajian akademik, tetapi lebih pentingkan wang ringgit. Sepatutnya IPTS yang bermata duitan ini ditutup saja dan selesailah masalah 'Awang Hitam' ini.

Kementerian Pengajian Tinggi sepatutnya sejak awal lagi sudah memantau semua IPTS benar-benar melakukan apa yang perlu bagi menjaga baik nama negara untuk menjadi pusat pendidikan tinggi di rantau ini. Institusi yang tidak tegas melakukan apa yang dikehendaki ini boleh didenda secukupnya hingga mereka serik dan tidak akan mengabaikan tanggungjawab ini.

Kalau banyak sangat berlaku kecurangan begini mereka sepatutnya diharamkan daripada mengambil pelajar asing baru. Selain itu, ada pula pekerja asing datang secara sah untuk tempoh tertentu, tetapi tidak kembali ke negara asal mereka bila tamat tempoh. Kerajaan sendiri mengakui betapa lesunya agensi kerajaan mengesan mereka itu.

Sudah cukuplah kita menampung pendatang yang tidak diingini ini daripada terus berada dan bermaharajalela melakukan pelbagai macam perlakuan jelek dan jenayah di sini. Apakah kita tidak cukup mempunyai penjenayah tempatan hingga hendak mengimport penjenayah asing pula?

Persoalannya apakah pelbagai agensi penguat kuasa kita begitu lesu dan tidak bermaya untuk menangani masalah yang dibiarkan menjadi begini serius? Rakyat sebenarnya sudah jelak dan tidak boleh menerima kehadiran penjenayah asing itu lagi.

No comments:

Post a Comment